Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berharap kontinjen besar Malaysia ke Sukan Asia Indonesia bulan depan bukan sekadar untuk mencukupkan bilangan peserta tetapi mampu mencapai kedudukan 10 terbaik temasya sukan itu.

MOM menukar prinsip mereka sebelum ini daripada menghantar kontinjen kecil dan berkualiti kepada kontinjen besar bagi memberi ruang kepada beberapa sukan yang kurang popular mendapat medan pendedahan.

Seramai 426 atlet daripada 35 jenis sukan terpilih ke Sukan Asia dan Malaysia akan menyertai 205 acara di sana.

Namun, MOM masih tegas dengan prinsip mereka bahawa setiap atlet yang dihantar mewakili negara tanpa mengira kategori seharusnya menunjukkan prestasi membanggakan apabila beraksi.

"Saya yakin sasaran serta tanggungjawab kontinjen Malaysia dipikul oleh setiap orang. Kami berharap Malaysia dapat merealisasikan matlamat utama, iaitu mengakhiri saingan dalam kelompok 10 terbaik," kata Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad, menegaskan MOM patut mengumumkan sasaran 10 pingat emas sesuai dengan reputasi kontinjen terbesar negara dalam sejarah Sukan Asia.

Sasaran 10 emas juga tidak keterlaluan kerana pencapaian terbaik sebelum ini ialah sembilan emas di Guangzhou, China pada 2010.

"Kontinjen yang besar pada pendapat saya mampu melunaskan sasaran, iaitu meraih 10 pingat emas. Saya percaya mereka mampu mengatasi pencapaian edisi empat tahun lalu," kata Mazlan.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) belum mengumumkan sasaran pingat Malaysia dalam temasya itu, cuma Program Podium menetapkan sasaran kelompok 10 negara terbaik tanpa pecahan pingat.

Bayangan emas juga kabur ketika ini selepas atlet negara dilanda pelbagai isu seperti merokok, berfoya-foya, jurulatih meletak jawatan atau terpaksa menarik diri.