Pengalaman berlatih dan menyertai perlumbaan di luar negara menjadi sandaran utama buat dua pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Muhammad Zawawi Azman dan Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil, untuk menghadapi Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

Zawawi dan Izzat mendapat kepercayaan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk mewakili negara dalam acara lebuh raya lepas beramai-ramai dalam Sukan Asia nanti manakala seorang lagi pelumba TSC, Nur Aiman Zariff, disenaraikan untuk acara trek.

Menurut Zawawi, pengalaman yang diraih ketika berlatih di Turki sebelum ini menjadi sandaran di samping mengakui saingan di Indonesia lebih hebat berbanding ketika Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) yang disertainya di Naypyidaw, Myanmar, Februari lalu.

"TSC membuat persiapan bagi menghadapi Sukan Asia dalam usaha untuk mencari kejayaan di Indonesia nanti," kata Zawawi.

"Latihan serta kejohanan yang disertai di Eropah diharap akan menjadi kelebihan buat kami."

Selain Zawawi, Izzat juga akan membuat penampilan sulung dalam Sukan Asia.

Menganggap ini peluang terbaik untuk membuktikan mengapa dia layak mewakili negara, Izzat percaya dengan kemampuan dirinya bagi membantu rakan sepasukan.

Turut memperkuatkan pasukan negara dalam acara lebuh raya lepas beramai-ramai ialah pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Hariff Saleh, Shahrul Mat Amin dan Nur Amirul Fakhruddin Marzuki.

"Saingan Sukan Asia sangat sengit kerana ramai pelumba yang berkualiti. Saya akan cuba membantu rakan sepasukan ketika mengharungi saingan nanti," kata Izzat.