Perancangan ketua jurulatih negara, Beh Lee Wei, untuk menjemput rakan sepelatih dari China berlatih di Malaysia sebagai persiapan ke Sukan Asia Indonesia tampak samar apabila Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) masih berdiam diri.

Langkah itu merupakan perancangan akhir Lee Wei untuk anak buahnya memandangkan mereka tidak lagi ke luar negara dalam masa terdekat, sekali gus mengharapkan rakan sepelatih dari China dapat hadir menjalani latihan di Malaysia.

Namun, dia mungkin terpaksa melupakan hasrat itu apabila TTAM masih belum memutuskan untuk memberi lampu hijau atau tidak, lebih-lebih lagi barisan atlet ini bakal ke Sukan Asia menerusi kategori B.

Bagi Lee Wei, kehadiran skuad dari China mampu melahirkan suasana kompetitif buat pemain untuk mereka lebih bersedia bersaing dalam Sukan Asia, yang tahap persaingannya lebih tinggi.

"Memang latihan sahaja. Bagi saya, tahap untuk kami bersaing sesama kami itu sangat kurang. Jurulatih lain juga mengakuinya. Itu satu tugas berat buat kami," kata Lee Wei.

Sementara itu, Leong Chee Fung yang bakal ke Sukan Asia buat kali pertama, enggan sekadar menjadi pelengkap ke Indonesia tatkala dia mengharapkan mampu untuk memberi tentangan sebaik mungkin walaupun sedar harapan untuk menang adalah tipis.

"Wakil dari negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan serta China, mereka sangat bagus. Jadi, saya rasa dalam acara perseorangan, saya cuma boleh memberi cabaran kepada mereka. Jika meraih kemenangan, pasti lagi bagus," ujar Chee Fung.