Pengguguran pemain perseorangan wanita daripada ke Sukan Asia Indonesia 2018 menjadi petanda betapa jauhnya jurang prestasi mereka dalam kalangan pemain terbaik dari benua ini.

Perseorangan wanita berada dalam kategori B ke Sukan Asia tetapi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berpandangan tiada pulangan jika menghantar mereka ke Jakarta.

Sebaliknya, dua pemain terbaik negara, Goh Jin Wei dan Soniia Cheah, akan diberi peruntukan menyertai kejohanan terbuka bagi meningkatkan ranking dunia mereka.

"Saya berasakan peluang pemain perseorangan wanita kita dalam Sukan Asia agak sukar, jadi kami memberikan perancangan untuk mereka bersaing dalam kejohanan lain untuk meningkatkan ranking," kata jurulatih, Datuk Tey Seu Bock.

Senario ini disambut baik barisan perseorangan wanita negara yang terdesak untuk memburu keputusan positif dalam mana-mana saingan disertai, terutama Jin Wei yang melalui transformasi perwatakan di dalam dan di luar gelanggang.

"Jin Wei adalah pemain yang banyak melakukan perubahan. Dia memiliki inisiatif untuk mengurangkan berat badan bagi meningkat kepantasan dalam gelanggang dan Jin Wei merupakan pemain yang paling menampilkan peningkatan," tambahnya.