Atlet mendaki tembok tiruan kebangsaan, Muhammad Taqiuddin Mohd Zulkifli, menyasarkan catatan masa bawah tujuh saat dalam disiplin ‘speed’ untuk mencerahkan peluang merangkul pingat dalam Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang, Ogos ini.

Atlet berusia 24 tahun itu, yang disenaraikan dalam acara ‘combined’, optimis dengan bantuan pakar daripada Institut Sukan Negara (ISN) serta Majlis Sukan Negara (MSN) dan mengharapkan catatan terbaiknya 7.70s dapat diperbaiki dalam tempoh lebih kurang sebulan.

Beliau berkata sepanjang lapan tahun terlibat dalam sukan mendaki di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, ini kali pertama dia didedahkan dengan kepakaran sains sukan yang ternyata memberi satu pengalaman baru selain dapat merasai impak perubahan terhadap prestasinya.

“Saya akan berusaha keras membawa pulang pingat di Sukan Asia memandangkan prestasi saya setakat ini berada dalam keadaan baik dan saya optimis masih boleh dipertingkatkan.

“Dengan adanya bantuan daripada ISN dan MSN, sudah tentu catatan 7.70s itu dapat diperbaiki. Sejujurnya, saya belum cukup puas dengan catatan tersebut dan saya akan menggunakan segala kemudahan yang diberikan untuk mencapai catatan sehingga enam saat,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sesi perjumpaan Chef-de-Mission (CDM) ke Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, bersama Persatuan Mendaki Malaysia (PMM) di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.

Acara ‘combined’ mempunyai tiga disiplin -- ‘boulder’, ‘lead’, dan ‘speed’, dengan setiap atlet perlu mengutip mata dalam ketiga-tiga disiplin tersebut dan atlet yang mengumpul jumlah mata tertinggi muncul sebagai pemenang.

Sementara itu, pengurus pasukan, Mohd Zaidi Kamaruddin, berkata pasukan negara akan menjalani latihan intensif di Johor selain mengadakan aksi pemanas badan bersama atlet negara jiran, Singapura, sebagai persediaan terakhir sebelum berlepas ke Sukan Asia.

“Kami akan ke Johor untuk ‘berkampung’ di sana kerana terdapat tembok tiruan yang mengikut standard antarabangsa. Jadi, setiap atlet dapat peluang untuk menyesuaikan diri, sekali gus memberi lebih fokus terhadap latihan,” katanya.

Skuad mendaki tembok tiruan kebangsaan ke Sukan Asia 2018 mempertaruhkan tiga atlet lelaki dan empat atlet wanita yang akan beraksi dalam tiga acara, iaitu ‘speed’, ‘speed relay’ dan ‘combined’.

Malaysia pernah menghantar wakil beraksi dalam acara mendaki tembok tiruan sewaktu Sukan SEA 2011 di Palembang dan berjaya membawa pulang satu pingat perak dan dua gangsa.

-- BERNAMA