Pemain boling tenpin negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, terpaksa melupakan Kejohanan Cabaran Eropah Brunswick di Munich, Jerman, dari 10 hingga 18 Mac ini ekoran kecederaan pergelangan tangan.

Kesakitan di pergelangan tangan kanannya itu mula dirasai sejak dua minggu lalu sehingga memaksanya menjalani proses pemulihan sehingga penghujung bulan ini.

Jelas Afifah, kecederaan itu tidak terlalu serius, namun terdapat sedikit koyakan otot dan dinasihatkan untuk tidak melakukan sebarang latihan buat masa ini.

Biarpun kecewa tatkala rakan sepasukannya akan berjuang di Jerman, Afifah sedar akan risiko tinggi yang boleh menjejaskan persiapannya menjelang Sukan Asia Jakarta-Palembang, 18 Ogos-2 September depan.

"Sebenarnya saya mengalami kecederaan sebab ada sedikit koyakan di pergelangan tangan.

"Nampak teruk tetapi tidaklah seteruk seperti dilihat.

"Saya perlu memakai alat sokongan ini pun bagi mengelak daripada melakukan banyak pergerakan tangan. Kalau tidak, ia boleh koyak lagi," ujarnya.

Anggota skuad juara berpasukan wanita dunia itu dijangka kembali memulakan latihan bulan depan, namun menganggap sudah tiada masa untuknya mengambil mudah segala persiapan memandangkan sasaran Malaysia sudah pasti tertumpu kepada skuad berpasukan wanita negara untuk meraih pingat emas dalam temasya berkenaan.

"Acara kegemaran kami adalah berpasukan. Saya pun tidak tahu kenapa Indonesia menggugurkan acara perseorangan dan beregu, mungkin itu strategi mereka.

"Mereka tahu Malaysia kuat dalam acara berpasukan, jadi kami membuat persiapan yang sangat rapi bermula dari sekarang," katanya lagi.