Penembak rifle negara, Shahera Rahim Raja, begitu dahagakan temasya sukan pada tahun ini dengan mengimpikan penyertaan dalam Sukan Asia Indonesia selepas kali terakhir beraksi di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur, tahun lalu.

Kembalinya Shahera ke skuad negara sejak tahun lalu adalah demi mengembalikan prestasi terbaiknya selepas berehat lama untuk memberi fokus kepada keluarga.

Sukan SEA 2017 adalah temasya pertamanya selepas kali terakhir beraksi pada edisi 2011. Justeru, dia menaruh harapan tinggi untuk bertanding dalam Sukan Asia Ogos depan setelah tidak terpilih dalam Sukan Komanwel Gold Coast, bulan lalu.

Menurut pemenang pingat perak Sukan SEA 2007 itu, usaha keras perlu dilakukan memandangkan sudah lama tidak terlibat dengan mana-mana kejohanan luar negara tahun ini.

"Setakat ini, saya masih berusaha untuk layak ke Sukan Asia.

"Sungguhpun kecewa tidak tersenarai dalam Sukan Komanwel yang lalu, namun saya sedar setakat mana tahap keupayaan saya.

"Mungkin banyak yang perlu diperbaiki lagi," katanya.

Kem latihan selama dua minggu di Korea Selatan merupakan sebahagian daripada perancangan kem menembak negara, begitupun hanya atlet terpilih akan turut serta bagi persiapan Sukan Asia.

"Kami akan menjalani latihan di Korea Selatan selama dua minggu. Dalam tempoh itu, kami mungkin berpeluang menyertai kejohanan tempatan," katanya lagi.