Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, meletakkan sasaran podium bagi skuad wanita negara menjelang saingan Sukan Asia pada Ogos depan.

Kali terakhir skuad hoki wanita negara menyumbangkan pingat dalam Sukan Asia adalah 36 tahun lalu selepas gangsa yang diraih dalam saingan di New Delhi, India.

Sejak itu, Malaysia masih ketandusan pingat Sukan Asia walaupun hakikatnya hoki wanita di peringkat Asia adalah antara yang terbaik di dunia walaupun membabitkan negara seperti Korea Selatan, India, China mahupun Jepun.

Barisan bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu kini berada di kedudukan kelima Asia dan Subahan melihat situasi itu sudah tidak relevan dengan meletakkan sasaran baru untuk sekurang-kurangnya membawa pulang gangsa dari Indonesia, Ogos nanti.

"Kebetulan jaguh hoki wanita datang dari Asia, berbeza dengan lelaki. Jadi, saya rasa sekarang kita berada di kedudukan kelima, membuatkan kami yakin untuk menetapkan sasaran tiga terbaik," kata Subahan.

Untuk Sukan Komanwel Gold Coast yang akan berlangsung kurang dua bulan dari sekarang, Malaysia diharapkan mampu menempatkan diri sekurang-kurangnya dalam kelompok enam pasukan terbaik dunia, sekali gus memperbaiki kedudukan ketika ini.

"Apa pun terjadi, kami akan menyokong mereka dan saya rasa pada tahun ini mereka akan melalui jelajah di China," katanya lagi.