Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, menganggap perbelanjaan hampir RM21 juta bagi skuad hoki negara dalam tempoh lima tahun lalu berbaloi walaupun kedua-dua pasukan lelaki dan wanita gagal layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Daripada jumlah itu, katanya, skuad lelaki menerima peruntukan hampir RM15 juta dari 2015 hingga 2019 dengan perbelanjaan tertinggi adalah dalam fasa terakhir kelayakan pada 2019 dengan RM4.7 juta manakala skuad wanita menerima peruntukan hampir RM6 juta dalam tempoh yang sama.

"Perbelanjaan ini hanya meliputi kos membayar gaji pemain dan jurulatih serta jelajah ke luar negara, tidak termasuk liga dan sebagainya. Memang bukan senang untuk mencari dana tetapi jumlah yang dibelanjakan memang berbaloi.

"Jika dibandingkan dengan negara seperti India dan Australia, bajet mereka tiga atau empat kali ganda lebih banyak," katanya ketika memulakan sesi penilaian empat tahun (2016-2019) skuad kebangsaan di Institut Sukan Negara (ISN), Kuala Lumpur hari ini.

Sesi penilaian itu bertujuan untuk bedah siasat punca kegagalan kedua-dua pasukan lelaki dan wanita kebangsaan layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 supaya memastikan kesilapan sama tidak berulang untuk tempoh empat tahun akan datang yang meliputi kelayakan dan kejohanan Piala Dunia 2022 (wanita) dan 2023 (lelaki) serta kelayakan Sukan Olimpik 2024.

"Bukan nak katakan kami gagal kerana pemain tak capai, mereka pun bagi yang terbaik. Bagaimanapun, kami harus mencari di mana berlaku kesilapan untuk memastikan Malaysia layak ke Olimpik Paris 2024.

"Kami menjangka untuk mengumumkan rumasan awal esok manakala laporan penuh dijangka dibentangkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Mac nanti," katanya.

Skuad lelaki yang menerima jolokan 'The Speedy Tigers' mempunyai peluang terbaik mara ke Olimpik sebagai juara Sukan Asia 2018 tetapi tewas kepada Jepun di pentas final manakala dalam pusingan play-off terakhir kelayakan, pasukan ke-11 dunia itu tewas kepada Great Britain dengan agregat 3-9 di London, November lalu.

Pasukan wanita yang melonjak ke ranking ke-20 dunia gagal mara ke pusingan kelayakan terakhir apabila menamatkan kempen Final Siri FIH di Banbridge, Ireland, Jun lalu di tempat ketiga dengan hanya dua pasukan teratas layak ke play-off.

Sesi penilaian itu dianggotai oleh 16 ahli panel, termasuk Subahan, kedua-dua Timbalan Presiden KHM, Prof Datuk Dr. S. Shamala dan Jadadish Chandra Bipin, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, bekas pemain, wakil daripada Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan media.

Seramai 10 pemain pasukan lelaki dan lima pemain wanita akan menjalani sesi perbincangan tertutup secara individu bersama ahli panel pada hari ini, manakala sesi pertemuan dengan pihak jurulatih dijangka diadakan pada waktu lain.

Sementara itu, KHM membatalkan mesyuarat jawatankuasa yang sepatutnya diadakan Sabtu ini.

Ia berkaitan dengan kesukaran membuat keputusan mengenai status beberapa jurulatih, termasuk ketua jurulatih, Roelant Oltmans, yang gagal membawa skuad negara ke Olimpik Tokyo.

Namun, apa yang pasti jurulatih skuad remaja lelaki dan wanita menjadi keutamaan.

"Dalam dua atau tiga bulan sahaja yang ada manakala untuk skuad lelaki, mereka akan ke Dhaka, Bangladesh pada Jun depan. Jadi, ia penting memandangkan ia syarat penting untuk kami ke Piala Dunia. Mesyuarat itu akan fokus kepada aspek itu," kata Subahan.

"Saya selesa untuk berbincang dengan mereka kerana mungkin ada perkara yang mahu ditanyakan. Saya rasa tiada masalah untuk saya berkongsi dengan mereka," ujar kapten negara, Sukri Mutalib.

"Apa saya cuba sampaikan tadi mungkin daripada segi semangat pasukan tidak kira psikologi atau mental. Ia tentang gabungan junior dan senior, jadi mungkin selepas ini sudah ada perancangan sendiri," tambah pemain skuad wanita, Nuraini Abdul Rashid.

-- BERNAMA