Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, berkata sokongan kerajaan negeri amat penting buat setiap ahli gabungan negeri memajukan lagi sukan hoki di negeri masing-masing.

Bagi Subahan, KHM sudah melaksanakan tanggungjawabnya dalam membantu setiap ahli gabungan negeri daripada segi kewangan.

Namun, sokongan kerajaan negeri masih diperlukan dalam usaha meningkatkan lagi tahap hoki negara.

"Ketika ini, apabila ada kemenangan, semua pihak mahu menjadi sebahagian daripada kejayaan itu tetapi tiada sesiapa yang mengambil tahu kedudukan kewangan persatuan hoki negeri.

"Kerana itulah, kami perlukan kementerian sukan di setiap negeri masing-masing untuk melihat sendiri persatuan negeri demi membantu sukan hoki," jelasnya.

Subahan mendedahkan sebahagian besar persatuan hoki negeri tidak mempunyai kewangan yang kukuh dan sukar melaksanakan program pembangunan di peringkat akar umbi.

Hanya sesetengah kerajaan negeri seperti Terengganu yang kerap memainkan peranan aktif dalam pembangunan hoki.

"Tiada inisiatif kecuali beberapa negeri. Kebanyakannya tidak langsung mengambil tahu tentang hala tuju perkembangan hoki masing-masing.

"Saya berani cakap Selangor salah satunya.

"Memang langsung tiada bantuan dan kadang-kala apabila kami hantar surat banyak, kami tidak pernah menerima respon daripada kerajaan negeri Selangor," tambahnya.