Selepas puas mencuba, akhirnya Sabah Mountaineers mengecapi detik manis kemenangan apabila mengejutkan PDRM Defenders 2-1 dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) di Gem In Mall, Cyberjaya, malam tadi.

Kapten Mountaineers, Daut Amba, bersyukur dengan kemenangan pertama liga itu sambil mengakui perlu memantapkan corak pertahanan jika mahu mencabar pasukan pilihan.

"Alhamdulillah atas rezeki ini. Sudah lama kami menunggu untuk mendapatkan mata pertama liga.

"Kami berjaya mengambil kesempatan atas aksi tidak menjadi Defenders dan harap rentak kemenangan ini berterusan," katanya.

Daut, yang juga jurulatih skuad wanita kebangsaan, percaya regunya mampu meneruskan rentak kemenangan jika mampu menyerap tekanan dan mengurangkan kesilapan mudah.

"Kami sedar lawan (ATM Guardians) yang menunggu malam ini berada dalam prestasi terbaik.

"Pelibas utama, Khairuddin (Adenan) pula tidak dapat beraksi menentang pasukan lamanya," katanya.

Untuk rekod, Mountaineers terperosok di dasar liga dengan dua mata selepas mengharungi 12 aksi liga.