Johor Tigris cuba bersikap menyimpan kuku terlebih dahulu apabila menyahut cabaran dalam Liga Sepak Takraw (STL) 2016 yang bermula Jumaat ini di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor.

Pasukan dari selatan Semenanjung ini lebih bersedia 'menunjukkan belang' dalam perhitungan di gelanggang sekalipun menyedari kelebihan di atas kertas memihak kepada ATM Guardians, Penang Panthers, KL Thunder dan Terengganu Turtles.

Jurulatih Johor Tigris, Jamaluddin Hassan, berkata, "Kami kena harungi satu persatu lawan STL untuk memahami kekuatan dan kelemahan kami kerana setakat ini sukar mengumpul mereka serentak disebabkan lokasi dan komitmen masa masing-masing.

"Selain itu, kami mengharapkan pengalaman beberapa pemain yang baru-baru ini bermain dalam Grand Prix 1Malaysia di Serdang Jaya dan Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak, Julai lalu."

Mereka yang dimaksudkannya ialah perejam, Norhafizi Abd dan pengumpan, Lutfil Hadi Azmi, yang masing-masing mewakili juara Grand Prix, Kuala Lumpur, dan Polis Diraja Malaysia manakala seorang lagi apit kanan, Afiq Ramli, berpengalaman dalam kancah Sukan Malaysia (Sukma).

"Sekalipun serba kekurangan dalam persediaan, majoriti pemain sudah mengenali sesama sendiri, jadi keserasian mereka dalam regu bukanlah satu masalah besar bagi kami.

"Saya yakin mereka akan cepat menyerlah bila tiba hari perlawanan," tambahnya.

Musim lalu, ketika membawa nama Southern Tigers, kemaraan mereka disekat Gomo Warriors (Kelantan Warriors) dan gagal ke separuh akhir.

"Kami tidak meletak sasaran tinggi kali ini memandangkan Grand Prix baru-baru ini pun Johor tidak sertai.

"Kalau berada dalam lima terbaik musim ini pun dikira bagus," kata jurulatih berusia 62 tahun itu.