Jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, dibelenggu persoalan mengenai status pemenang pingat emas 100 meter Sukan SEA Singapura, Eric Clay, dari Filipina yang dikhabarkan bertukar kepada acara lain dalam temasya di Kuala Lumpur, 19-31 Ogos depan.

Khairul selaku pelari nombor satu Asia Tenggara musim lalu, cuba mendapatkan maklumat mengenai raja pecut Sukan SEA dua tahun lalu itu.

Clay dikhabarkan sudah bertukar ke acara jarak sederhana tetapi belum membuat sebarang penampilan.

Jika benar ia akan memudahkan lagi tugas Khairul untuk merampas gelaran raja pecut apatah lagi dia bakal menjalani kem latihan pusat di Pretoria, Afrika Selatan, bermula esok.

"Dalam senarai 10 atlet pecut untuk Sukan SEA, memang namanya tiada tetapi saya tahu dia masih berlatih secara senyap. Saya mesti berhati-hati dengannya walaupun saya berada di tangga teratas," kata Khairul.

Sebelum berangkat ke Pretoria, skuad pecut Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) menjalani latihan di ibu negara.

Fizikal mereka nampak mantap namun jurulatih, Mohd Poad Mohd Kassim, mengarahkan pelarinya menambah berat badan 2kg lagi.