Status kalendar Kejuaraan Motorsikal Asia (ARRC) 2020 menjadi tanda tanya sama ada ia tetap akan diteruskan tatkala Malaysia kini berada di tahap merbahaya kerana jangkitan virus COVID-19.

Saingan ARRC secara rasminya akan membuka tirai Jumaat ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Daripada tujuh pusingan yang bakal diadakan, tiga venue berada dalam keadaan merbahaya iaitu Thailand, Jepun serta China gara-gara virus COVID-19.

Setakat ini, masih tiada kenyataan rasmi daripada pihak penganjur, Two Wheel Motors, sama ada kalendar perlumbaan itu akan diubah atau sebaliknya.

"Mungkin ia ditunda atau dibatalkan. Di Jepun, ketika ini wabak itu sedang tular, jadi sudah pasti penganjur akan mengambil tindakan," kata pengurus pasukan Yuzy Racing, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini.

"Kami tidak kisah untuk berlumba di mana. Jika enam atau tujuh pusingan di Malaysia, kami terima. Kami hanya tunggu keputusan penganjur dan ia tidak menjejaskan persiapan kami," tambah pengurus pasukan OneXOX TKKR Racing, Bobby Farid.

Di peringkat antarabangsa, perlumbaan MotoGP Qatar minggu ini sudah pun dibatalkan sambil pusingan kedua di Thailand, 22 Mac depan ditunda.