Lembaran baru tersingkap buat sukan negara apabila Stadium Putra yang sinonim dengan penganjuran Kejohanan Badminton Siri Super Premier akan ditransformasikan sebagai Arena Axiata menerusi satu perjanjian eksklusif dengan Perbadanan Stadium Malaysia.

Syarikat telekomunikasi, Kumpulan Axiata Berhad, memeterai perjanjian bernilai RM55 juta bagi tempoh 10 tahun untuk hak penamaan stadium tersebut.

Stadium Putra atau Arena Axiata ketika ini sedang menjalani kerja naik taraf di bawah projek pembangunan bandaraya sukan Kuala Lumpur.

Peminat sukan tanah air berpeluang menikmati infrastruktur yang diberi nafas baru apabila Sukan SEA 2017 membuka tirai Ogos ini.

"Axiata Arena akan menjadi tumpuan kebangsaan dan persekitaran daerah ini apabila kita menganjurkan Sukan SEA serta Sukan Para ASEAN tahun ini," kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Selain Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Hoki Tun Razak, hak penamaan venue lain di bawah pengurusan Perbadanan Stadium Malaysia juga terbuka untuk penjenamaan semula.

"Untuk stadium di bawah Perbadanan Stadium Malaysia, hanya Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Hoki Tun Razak yang tidak boleh diberikan nama komersial.

"Saya telah cuba memberikan penjenamaan semula untuk stadium-stadium lain supaya mendapat tajaan daripada syarikat swasta," tambahnya.