Penjaga gol skuad hoki Sri Lanka, Thusitha Rathnasiri, menjangkakan tugas berat menanti mereka apabila berdepan Malaysia dalam suku akhir pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka, Bangladesh, esok.

Kebimbangan itu mula dirasai kem Sri Lanka selepas menyaksikan pasukan negara, yang diletak selaku pilihan utama, membelasah semua lawan mereka untuk menjuarai Kumpulan A.

Katanya, walaupun Sri Lanka belum pernah menentang Malaysia, ia pasti tugas sukar berdasarkan prestasi semasa skuad kendalian Stephen Van Huizen di Stadium Hoki Nasional Maulana Bhasani.

Jelas Rathnasiri, penjaga gol dan pertahanan pasti akan bekerja keras untuk menghalang jentera serangan Malaysia yang diketuai pendahulu senarai penjaring kejohanan, Shahril Saabah.

"Corak permainan Malaysia pantas, kami akan cuba melengah-lengahkan gaya permainan mereka," katanya.

Kubu Sri Lanka antara yang paling rapuh dalam kejohanan itu selepas dibolosi 16 gol.

Skuad itu mengalami kekalahan terbesar, 2-6, di tangan Mesir dalam aksi sulung, sebelum tunduk kepada Ghana dan China.

"Corak hantaran pendek Malaysia sangat bagus dan pantas. Malaysia mempunyai pemain berpengalaman, terutama di bahagian penjaga gol dan barisan depan.

"Mereka juga mempunyai corak hantaran di atas garisan dengan baik," kata jurulatih Sri Lanka, Herath Bandara.