MALAYSIA 5 SRI LANKA 2

The Malaysian Speedy Tigers mara ke separuh akhir pusingan kedua Liga Dunia selepas menumbangkan Sri Lanka 5-2 dalam aksi suku akhir, dengan pengendali Malaysia, Stephen Van Huizen, berpuas hati walaupun kemenangan itu sukar dicapai.


Stephen menghelakan kelegaannya apabila anak buahnya melepasi tentangan lawan yang mempamerkan aksi mengejut di Stadium Hoki Nasional Maulana Bhasani.

"Kami mencipta peluang yang sewajarnya, cuma tidak dapat menyudahkannya.

"Pasukan lawan pula, mereka cuba untuk menggunakan kesempatan yang ada sebaik mungkin dan cuba untuk melengah-lengahkan permainan untuk meraih keputusan seri.

"Apa pun, kami perlu memastikan terus mendahului dan lebih tajam dalam kotak 'D'," ujarnya.

Sri Lanka memberi tentangan sengit sepanjang perlawanan meskipun pada awalnya Malaysia dijangka menang mudah.

Mujur, Malaysia selaku pilihan utama melancarkan serangan awal sehingga dapat menghasilkan lima gol dalam separuh masa pertama.

Gol negara dihasilkan menerusi penyerang, Mohd Ramadan Rosli, dengan dua gol, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil, Nik Mohd Aiman Nik Rozemi dan Rashid Baharom -- semuanya menerusi gerakan padang.

Sri Lanka memberi tentangan menerusi pukulan sudut penalti mereka yang disempurnakan Nalatha Karuna Munige dan Ishanka Dora Negala.

Selepas rehat, Malaysia lebih banyak bertahan di suku ketiga dan secara tidak langsung gagal menambah jaringan.

Dalam suku terakhir, Stephen mengarahkan pemain negara melancarkan serangan, namun Sri Lanka yang berada di ranking ke-41 dunia, kental bertahan.

Kemenangan itu bermakna Malaysia hanya tinggal selangkah lagi untuk mengesahkan tiket automatik ke separuh akhir Liga Dunia yang akan berlangsung di England atau Afrika Selatan untuk kelayakan Piala Dunia 2018.

"Pemain saya beraksi baik dalam suku ketiga dan keempat perlawanan.

"Tapi dalam suku kedua, pemain-pemain saya gagal mengikut perancangan asal," kata jurulatih hoki Sri Lanka, A Herath Bandara.

Kredit imej: FIH