Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) tidak akan terburu-buru mencari pengganti selepas Ong Beng Hee meletakkan jawatan selaku jurulatih negara, bulan lalu.

Sebelum ini, dua jurulatih kebangsaan, Raymond Arnold dan Mika Minto, turut mengambil langkah sama meninggalkan pasukan kejurulatihan negara.

SRAM terpaksa melepaskan khidmat Beng Hee selepas jurulatih berusia 37 tahun itu bersetuju untuk menerima tawaran sebagai pengarah kejurulatihan di Qatar.

Dia yang mengisi barisan kejurulatihan negara selama dua tahun akan menamatkan tugas secara rasmi pada 30 Jun dan Ppresiden SRAM, Huang Ying How, berkata mereka berharap dapat menemui pengganti yang berasal dari Malaysia.

“Pada waktu ini, kami sedang mencari seorang jurulatih tempatan untuk mengisi kekosongan ini,” kata Ying How.

Sementara itu, Ying How juga menjelaskan program persediaan untuk menghadapi Sukan Komanwel telah pun bermula.

“Rancangan kami untuk Komanwel telah pun bermula sejak enam bulan lalu.

“Antara sasaran kami adalah acara beregu wanita di mana kami meletakkan keutamaan secara menyeluruh dan bukan sekadar untuk beberapa kejohanan,” ujarnya.