Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) sudah menemui formula untuk bekerjasama dengan legenda negara, Datuk Nicol Ann David, bagi tugasan penting tahun ini.

Skuad skuasy kebangsaan akan sibuk dengan penyertaan kejohanan sepanjang musim ini tatkala Malaysia memainkan peranan sebagai tuan rumah bagi dua temasya penting.

Ia melibatkan Kejohanan Berpasukan Asia pada Mac depan dan Kejohanan Berpasukan Wanita Dunia, Disember nanti.

SRAM menerusi presidennya, Nik Razeen Daud, berpandangan Malaysia memiliki skuad untuk mencabar kedudukan podium dalam dua kejohanan itu.

"Saya yakin dengan peluang pemain negara. Dalam skuad wanita, saya rasa akan lebih mencabar tetapi lihat nanti bagaimana.

"Namun, kami juga memiliki prospek yang cerah menerusi Rachel Arnold, S. Sivasangari dan Low Wee Wern yang kembali. Saya fikir kami mempunyai skuad yang ampuh," katanya.

Bagi Kejohanan Wanita Dunia, badan induk itu berhajat mendapatkan khidmat Nicol dalam apa jua peranan untuk membantu skuad di luar gelanggang.

"Ia bergantung kepada Nicol. Saya gembira melihat penglibatannya untuk mengemudi pasukan. Kami akan menjemputnya untuk menjadi sebahagian daripada pasukan, bukan sebagai pemain tetapi untuk memberi motivasi dan berkongsi pengalaman. Dia faham tekanan yang ada," tambah Nik Razeen.



Editor: Nafis Abdullah