Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) sedang menunggu lampu hijau daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mendapatkan khidmat dua tenaga kejurulatihan baru.

MSN sudah mengenal pasti dua jurulatih tempatan untuk memperkasakan skuad skuasy kebangsaan.

Sebelum ini, Nadi Arena melaporkan SRAM sudahpun berhubung dengan bekas pemain wanita negara, Delia Arnold, bagi tugasan mengendalikan skuad remaja.

Seorang lagi calon ialah jurulatih yang berpangkalan di Sarawak, Jess Tey, yang akan membantu Ajaz Azmat mengendalikan skuad senior.

Pendekatan itu diambil SRAM selepas bekas pemain nombor satu negara, Nafiizwan Adnan, menolak tawaran badan induk itu.

Daripada aspek kewangan, SRAM juga akan menikmati penjimatan dengan pengambilan dua tenaga tempatan itu harus lebih murah berbanding kepakaran asing.

"Sudah lama kami mahukan jurulatih wanita yang mampu bekerjasama dengan pemain muda kami," kata Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S. Maniam.

"Dengan sumber kewangan yang ada, kami berharap pihak MSN akan mempertimbangkan cadangan itu untuk membenarkan kami melantik individu yang sesuai.

"Terdapat seorang lagi jurulatih dari Sarawak yang telah menjalankan tugasnya dengan baik di sana dan dia berminat untuk berpindah ke sini.

"Kami akan memperoleh lebih jurulatih tempatan dan ia baik untuk sukan skuasy di Malaysia untuk jangka panjang.

"Saya berharap (pengambilan) kedua-dua jurulatih itu akan diluluskan MSN agar kami memiliki tenaga kejurulatihan yang secukupnya," katanya.