Kementerian Belia dan Sukan (KBS) optimis penantian penggiat sektor sukan dan rekreasi untuk kembali beroperasi bakal berakhir dalam masa terdekat menerusi kewujudan Rakan Muda -- Sports Bubble Volunteers (SBV).

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata pihaknya telah mengemukakan beberapa mekanisme baharu termasuk pewujudan SBV yang akan bertanggungjawab memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta advokasi program kesedaran menerusi konsep pemerkasaan komuniti.

Beliau berkata ini kerana antara kerisauan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memberikan kebenaran kepada sektor sukan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 adalah pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Saya yakin bahawa mereka yang terlibat dalam sukan ini, tahap pematuhan mereka tinggi sebab mereka mementingkan kesihatan dan kecergasan. Namun, untuk meyakinkan MKN, salah satu elemen baharu ialah SBV.

“Saya rasa barisan hadapan kita seperti petugas kesihatan dan polis dah terbeban dengan banyak tanggungjawab, takkan kita nak bebankan mereka lagi. Pemerkasaan komuniti ini berlaku di banyak negara seperti New Zealand dan sebahagian kawasan di Australia, secara tidak langsung slogan 'kita jaga kita' benar-benar dijayakan,” katanya dalam satu temu bual di pejabatnya di Menara KBS di sini, hari ini.

Reezal Merican berkata sukarelawan berkenaan juga akan memantau kejohanan-kejohanan tertentu yang diadakan dengan konsep gelembung sukan seperti saingan Liga-Malaysia untuk memastikan pematuhan SOP.

Mengulas lanjut, beliau berkata sejak pendaftaran SBV dibuka di laman media sosial KBS baru-baru ini, pihaknya telah menerima lebih 2,000 pendaftaran dengan sasaran adalah 4,000 orang secara keseluruhan.

Beliau juga yakin sekiranya mekanisme itu berjaya, penganjuran kejohanan antarabangsa dapat diadakan pada masa akan datang, namun bergantung kepada kemampuan persatuan sukan yang terlibat.

Reezal Merican mengakui industri sukan negara berisiko tinggi untuk runtuh sekiranya sektor itu tidak dihidupkan semula.

“Kerosakan ini boleh jadi kekal. Untuk kita mulakan semula, bina keyakinan dan mendapatkan tajaan, ia tidak akan mudah. Akan menjadi cabaran besar.

“Pada masa ini, sekurang-kurangnya bola sepak boleh jadi sumber eskapisme. Pening dengan macam-macam, sukan menjadi sajian kepada kelegaan kepada tekanan mental, selain daripada hiburan. Sekarang banyak masalah mental disebabkan PKP,” katanya.

Sumber: Bernama