Program SportExcel sedang meneliti kemungkinan untuk menyenaraikan sukan olahraga di bawah naungan mereka bagi mencari atlet berpotensi untuk diketengahkan.

SportExcel merupakan program pembangunan di peringkat remaja menerusi kerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN).

Ketika ini, 12 sukan berada dalam program berkenaan, antaranya renang, golf, sepak takraw dan skuasy.

Pengerusi SportExcel, Tunku Imran Tuanku Ja'afar, menjelaskan perancangan sudah dilakukan untuk menyenaraikan olahraga bermula tahun ini.

"Kami masih lagi cuba mendapatkan penilaian yang lebih rapi dalam usaha mengetengahkan sukan olahraga dalam program ini," katanya dalam majlis pengumuman lima penaja baru SportExcel bagi tahun 2018 di Kuala Lumpur, semalam.

Penambahan lima lagi syarikat ini menyaksikan SportExcel kini mempunyai 25 penaja dengan sasaran 30 penaja pada penghujung tahun ini.