Sabah Osca Warriors Rugby Club (SOWRC) dan SWRC Angels masing-masing muncul juara kategori lelaki dan wanita dalam Kejohanan Festival Ragbi Penampang 2019 yang berakhir di Stadium Penampang, semalam.

Dalam aksi final kategori Cup lelaki, SOWRC diberi tentangan sengit oleh Eagles Rugby Club (Eagles RC) sebelum menang tipis 5-0 untuk muncul juara.

Dalam final kategori Cup wanita, SWRC Angels turut diberi tentangan sengit oleh Wipers 2020, namun akhirnya menang tipis 15-5.

Dalam pada itu, Wipers 2020 muncul pemenang kategori Plate lelaki selepas menewaskan SOWRC Barbarians 10-5 manakala kategori Plate wanita dijuarai Eagles RC selepas menundukkan Lady Sharks 20-5.

Kategori Bowl lelaki pula menyaksikan KK Sharks muncul juara selepas menewaskan Black Crow 12-7 manakala Keningau Angels muncul pemenang kategori Bowl wanita selepas menundukkan SWRC Angels Development 12-0 dalam final.

Dalam satu lagi kategori, iaitu Shield lelaki, SOWRC Pangaits muncul juara selepas menewaskan Keningau Crocs 12-7.

Untuk rekod, Festival Ragbi Penampang adalah kejohanan terbesar yang pernah dianjurkan di daerah berkenaan apabila sebanyak 40 pasukan bersaing untuk edisi pertama itu.