Trent Alexander-Arnold dan dua pemain yang masih cedera, Jordan Henderson dan Harry Maguire, berada dalam senarai awal 33 pemain England bagi kempen Euro 2020 bulan depan.

Gareth Southgate mempunyai tempoh sehingga tengah malam 1 Jun ini untuk mengurangkan senarainya kepada 26 pemain tetapi masih ada masa untuk menilai pemainnya menjelang perlawanan persahabatan menentang Austria dan Romania, masing-masing pada 2 dan 6 Jun ini.

Alexander-Arnold menjadi buah mulut selepas tidak disenaraikan dalam perlawanan persahabatan pada Mac lalu tetapi pertahanan sayap Liverpool itu kini berada dalam senarai terbaru berkenaan.

Dia akan menyertai rakan sepasukannya di Liverpool, Jordan Henderson, yang tidak pernah mewakili The Reds sejak mengalami kecederaan dalam 'derby Merseyside' pada Februari lalu, selain kapten Manchester United, Harry Maguire, yang kini sedang bergelut dengan masalah ligamen pergelangan kaki.

Turut berada dalam senarai itu adalah Mason Greenwood. Pemain remaja United itu -- yang menikmati prestasi memberangsangkan pada penghujung musim ini dengan menjaringkan lapan gol dalam kesemua kejohanan sejak 21 Mac lalu -- tidak pernah disenaraikan dalam skuad berkenaan sejak dia dan pemain Manchester City, Phil Foden, melanggar protokol koronavirus di Iceland pada September lalu.

England akan memulakan kempen Euro 2020 dengan melayani kunjungan Croatia di Wembley sebelum bertemu Scotland dan Republik Czech dalam aksi Kumpulan D.