Pemain skuad ragbi 15's negara, Mohammad Sofian Kamil, tidak menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri beraksi dalam skuad 7's selepas khidmatnya ditagih untuk membarisi skuad univerisiti negara dalam Kejohanan Ragbi Universiti Dunia di Namibia yang bermula Khamis ini.

Sofian adalah tonggak utama skuad ragbi 15's yang pernah membantu Malaysia dalam kempen Kejohanan Ragbi Asia (ARC) Divisyen Perdana, Mei lalu.

Namun, atas kapasiti sebagai pelajar universiti, khidmatnya ditagih untuk membantu skuad Malaysia menghadapi kejohanan di Namibia itu.

Lebih manis, ketua jurulatih, Khairul Azhar Shaarani, turut memberikan kepercayaan buat Sofian menggalas tanggungjawab sebagai kapten pasukan.

"Terdapat perbezaan dalam saingan 15's dan 7's tetapi saya dapat menyesuaikan diri selepas menjalani beberapa latihan bersama pasukan," kata Sofian

Turut dipinjamkan adalah Nur Azri Azmi dari skuad 7's kebangsaan. Ketiadan namanya dalam senarai ke Sukan Asia membuka ruang untuk dia membarisi skuad universiti.

Untuk kejohanan ini, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama Namibia, Sri Lanka dan Colombia.

Edisi 2016 di Swansea, Wales, menyaksikan Malaysia sekadar menamatkan saingan di tempat ketujuh daripada 10 negara bertanding.

"Terdapat peluang yang cerah untuk mara ke separuh akhir. Namibia akan menjadi halangan utama buat kami."