Kegagalan mengatasi tekanan beraksi di depan penyokong sendiri menjerat beregu snuker negara, Thor Chuan Leong dan Moh Keen Hoo, apabila terkandas di peringkat separuh akhir Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, hari ini.

"Kami mungkin tertekan beraksi di depan penyokong sendiri, kami tidak biasa dengan keadaan ini.

"Apapun, kami menghargai sokongan yang diberikan tetapi kami gagal mengatasi tekanan," ujar Chuan Leong.

Meskipun langkah kanan dalam frame pertama menerusi kemenangan mudah 80-0 ke atas lawan dari Singapura, Chan Keng Kwang dan Tey Choon Kiat, beregu Malaysia itu gagal mengekalkan momentum.

Mereka terkulai dalam dua frame berikutnya, 99-4 dan 84-0.

Keyakinan Chuan Leong-Moh Keen Hoo tampak kembali pulih dalam frame keempat menerusi kemenangan 85-15, namun kecundang pada saat genting apabila menyerah 69-30 dalam frame penentuan, sekaligus gagal mempertahankan emas yang dimenangi mereka di Singapura.

Saingan perseorangan lelaki akan membuka tirai, esok.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.