Pasukan Sekolah Menengah Saint Michael (SMSM) Pangaits berjaya menyapu bersih kejuaraan Piala Marven Sports sempena kejohanan ragbi tujuh sebelah PABLAST siri 7 yang berlangsung, di Penampang, semalam.

Pasukan itu masing-masing muncul juara bagi kategori bawah 16 tahun, bawah 19 tahun serta kategori terbuka wanita.

Sementara itu, pasukan Papar Falcon muncul naib juara bagi kategori bawah 16 tahun manakala Tansau Wolf sekadar berpuas hati di tempat ketiga.

Bagi kategori bawah 19 tahun, Barracuda KV Labuan dan Papar Falcon masing-masing muncul sebagai pemenang tempat kedua dan ketiga manakala SMSM Newbies serta Barracuda KV Labuan masing-masing muncul naib juara dan pemenang tempat ketiga bagi kategori terbuka wanita.

Pengerusi penganjur, Josephine Augustine Joseph, ketika ditemui berkata penganjuran kejohanan pada kali ini berjalan dengan lancar serta meriah.

"Kita harapkan setiap pasukan dan pemain yang bertanding mendapat pengalaman serta pengajaran berguna bagi menyertai kejohanan lain, akan datang," katanya.

Terdahulu, kesemua piala dan hadiah kepada pemenang disampaikan pemilik kedai sukan Marven Sports, Mailson Mahap selaku penaja utama kejohanan berkenaan.