Prestasi semasa jaguh skuasy remaja negara, Aifa Azman, di pentas antarabangsa membangkitkan keterujaan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) menjelang penampilannya dalam Kejohanan Wanita Dunia di Kaherah, Mesir dari 24 Oktober hingga 1 November depan.

Pemain berusia 17 tahun kelahiran Kedah itu dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Bulanan Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) bagi bulan lalu.

Ia susulan kejayaannya mengungguli dua kejohanan di Australia, iaitu Terbuka North Coast dan Terbuka Melbourne.

Kejayaan berkenaan secara tidak langsung menyaksikan pemain di ranking ke-122 itu menempah tiket ke Kejohanan Dunia secara merit di samping S. Sivasangari dan Low Wee Wern.

"(Prestasi) dia semakin meningkat naik.

"Kami akan terus memantau latihan dan pendedahannya dalam kejohanan agar rankingnya terus meningkat secara berperingkat," ujar Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S. Maniam, di Pusat Skuasy Kebangsaan, Bukit Jalil, hari ini.

Beliau juga menegaskan, corak permainan Aifa yang lebih mirip barisan pemain terbaik dunia dari Mesir membezakannya dengan seorang lagi pemain berbakat negara yang dicanang sebagai pengganti kepada Datuk Nicol David, Sivasangari.

"Permainannya berbeza dengan pemain (negara) yang lain. Dia memiliki corak permainan agresif.

"Dia tidak gentar dengan mana-mana lawan. Di gelanggang, dia akan berdiri teguh di kedudukannya sehingga kadangkala ia kelihatan seperti dia menutup pergerakan lawannya tetapi itulah gaya permainannya.

"Ia seringkali membawa kejayaan kepadanya."