Pemain skuasy remaja negara, Aira Azman, berada di laluan yang betul untuk mempertahankan gelaran kategori bawah 15 tahun wanita dalam Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja British (BJO) 2019 selepas mara ke final kejohanan itu di Birmingham, England, hari ini.

Aira, pilihan utama dalam kategori B-15, menewaskan pilihan ke-5/8, Torrie Malik dari England, 12-10, 12-10, 11-3 dalam aksi separuh akhir di University of Birmingham, demikian menurut laman web kejohanan, www.britishjunioropen.com.

Dia akan bertemu pilihan kedua, Salma El Tayeb, dalam final (awal Isnin di Malaysia) selepas pemain Mesir itu mengetepikan rakan sepasukannya, pilihan ke-3/4, Malaj Khafagy, 9-11, 11-7, 11-5, 11-8 dalam satu lagi separuh akhir.

Empat pemain Malaysia -– Harith Danial Jefri, Whitney Wilson, Ameeshenraj Chandaran dan Nickhileswar Moganasundharam –- turut menempah tiket ke final dalam kategori masing-masing selepas mengalahkan lawan mereka.

Kuasa besar skuasy dunia, Mesir, menjamin dua gelaran, iaitu B-13 dan B-19 wanita selepas empat daripada pemainnya menempah tempat dalam final bagi kedua-dua kategori.

Keputusan separuh akhir:

LELAKI:


B-11:
Nickhileswar Moganasundharam (Malaysia) mn Seif Eldeen Dahshan (Mesir) 6-11, 11-8, 11-9, 11-7
Jayden Oon (Malaysia) kk Chris Baddour (Mesir) 11-6, 11-8, 11-4

B-13:
Harith Danial Jefri (Malaysia) mn Yuvraj Wadhwani (India) 11-3, 11-5, 11-7

B-15:
Ameeshenraj Chandaran (Malaysia) mn Noor Zaman (Pakistan) 7-11, 11-8, 11-7, 4-11, 11-6

B-19:
Siow Yee Xian (Malaysia) kk Nick Wall (England) 11-6, 9-11, 11-4, 11-9

WANITA:

B-11:
Whitney Wilson (Malaysia) mn Shahad Hani (Mesir) 11-7, 11-5, 11-8

B-15:
Aira Azman (Malaysia) mn Torrie Malik (England) 12-10, 12-10, 11-3

-- BERNAMA

Kredit imej: http://www.squashsite.co.uk/