Low Wee Wern menebus kekecewaan selepas mencatat kemenangan tiga set ke atas S. Sivasangari dalam aksi separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia 2018, sebentar tadi.

Pertembungan ini merupakan ulangan kepada final Kejohanan Kebangsaan awal bulan ini yang juga pemilihan terakhir untuk ke Sukan Asia Indonesia. Aksi berkenaan dimenangi Sivasangari yang mengharapkan kisah serupa dapat berulang.

Begitupun, set pertama menyaksikan Wee Wern tampil dengan permainan pantas bagi memaksa lawan membuat kesilapan.

Kemenangan 11-6 diperoleh Wee Wern dalam set berkenaan dan dia meneruskan momentum yang sama dalam set berikutnya.

Meskipun Sivasangari mula menemui rentak, ia belum memadai apabila Wee Wern turut mencatat kemenangan 11-8 dalam set kedua.

Peluang terbaik buat Sivasangari untuk kembali dalam saingan hadir dalam set ketiga tetapi dia gagal mengekalkan prestasi itu hingga membenarkan Wee Wern menutup saingan dengan keputusan 11-9 untuk mara ke final.

"Sukar untuk menjangka ketika beraksi dalam gelanggang. Saya sangat gembira dengan kemenangan ini selepas pulih daripada kecederaan. Saya akan terus menampilkan aksi yang lebih baik pada masa akan datang," kata Wee Wern.

"Saya tidak berada di tahap terbaik. Sejak awal permainan, Wee Wern bertindak lebih cemerlang dan saya gagal memberikan saingan," kata Sivasangari.

Dalam saingan separuh akhir acara lelaki, pemain Mesir, Abdulla Mohd Al Tamimi, terpaksa berhempas-pulas selama sejam 27 minit untuk menyingkirkan pemain pilihan utama, Leo Au dari Hong Kong, 8-11, 11-2, 7-11, 11-9, 11-9.

Abdulla, pemain nombor 33 dunia, akan berentap dengan pemain pilihan kedua, Tsz Fung Yip dari Hong Kong, yang juga pemain ranking ke-29 dunia, di pentas final.

Dalam aksi separuh terakhir, Fung Yip mengalahkan pemain Perancis, Lucas Serme, 11-7, 8-11, 11-7, 11-7 dalam pertarungan selama 50 minit.