Skuad skuasy kebangsaan memastikan kejuaraan wanita bagi Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia 2019 milik wakil negara apabila dua pemain senior terbaik, Low Wee Wern dan Rachel Arnold, melangkah ke final.

Aksi separuh akhir hari ini menyaksikan Rachel menghadapi ujian sukar berdepan pilihan nombor satu, Rowan Elaraby dari Mesir.

Bagaimanapun, kejayaaannya memenangi dua set pertama 11-4 dan 11-7 memberi petanda ada kejutan dalam saingan kali ini.

Elaraby cuba mencetus kebangkitan saat dia kembali merapatkan jurang dengan kemenangan set ketiga 11-9.

Tetapi senyuman terakhir milik Rachel yang menoktahkan kemaraan dengan cataan 11-7 dalam set keempat.

"Ia merupakan perlawanan yang sengit kerana kami saling mengenali kemampuan masing-masing. Berdepan Wee Wern dalam aksi final memastikan wakil negara akan bergelar juara," kata Rachel.

Wee Wern yang juga juara bertahan turut dipaksa mengerah keringat sebelum mengesahkan laluan ke final.

Menentang Vanessa Chu dari Hong Kong, Wee Wern bermula dengan langkah kanan apabila menang set pertama 11-5.

Kekalahan 4-11 dalam set kedua tidak melunturkan semangat Wee Wern yang bangkit merampas dua set berikutnya 11-2 dan 11-8.

"Rachel berada di tahap terbaik ketika ini selepas beraksi cemerlang dalam beberapa kejohanan sebelum ini. Saya menjangkakan pertembungan yang sengit."

Sementara itu , Ng Eain Yow menjadi wakil lelaki tunggal negara yang masih bernyawa dalam Terbuka Malaysia turut mengiringi Rachel dan Wee Wern ke final.

Ini merupakan penampilan final keduanya selepas mencetus sensasi ke pentas perebutan kejuaraan Terbuka Malaysia dua tahun lalu.

Separuh akhir menyaksikan Eain Yow tidak ada masalah menidakkan pemain bukan pilihan, Rui Soares dari Portugal.

Meskipun diberi tentangan sengit dalam set ketiga, Eain Yow menang 11-5, 11-7, 11-7.

"Soares telah menghadapi perjalanan yang jauh untuk melangkah ke separuh akhir. Saya menyedari dia telah mengerah tenaga sepanjang kejohanan, ia adalah kelebihan yang digunakan dalam perlawanan ini.

"Saya sangat gembira berjaya melangkah ke final dan mahu membuktikan permainan yang lebih cemerlang berbanding dua tahun lalu," kata Eain Yow.