Pemain skuasy negara, Rachel Arnold, menonjolkan aksi terbaik untuk muncul juara Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia selepas mengalahkan Low Wee Wern dalam aksi final di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Dalam set awal, Rachel jelas lebih bersedia berbanding juara bertahan itu untuk menang 11-7.

Bagaimanapun, Wee Wern tidak mengalah dan kembali bangkit dengan memenangi dua set berikutnya, 13-11 dan 12-10.

Berlanjutan ke set keempat, permainan taktikal Rachel jelas membantunya untuk mengawal pertarungan untuk menyudahkannya dengan kemenangan 11-8.

Dalam set penentuan, kecergasan Rachel lebih menyerlah apabila dengan mudah menamatkan perlawanan 11-5.

"Ia bukan mudah, saya terpaksa berhempas-pulas sepanjang perlawanan, termasuk dalam permainan rali.

"Saya gembira untuk meraih kemenangan, namun Wee Wern bermain dengan baik," katanya selepas perlawanan.