Pemburuan kejuaraan kategori perdana lelaki membuka tirai dengan tumpuan kepada juara bertahan, Ivan Yuen, dan finalis musim lalu, Mohd Nafiizwan Adnan, dalam Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Ivan berada pada prestasi terbaik sementara Nafiizwan pula dalam misi bangkit daripada kecederaan.

Ivan baru sahaja dinobatkan sebagai pemain terbaik Persatuan Skuasy Profesional (PSA) bagi Jun susulan memenangi dua kejuaraan di New Zealand.

Untuk edisi kali ini, dia yang diklasifikasikan sebagai pilihan ketiga dan keempat, turun menentang Julian Joshua Wong dalam pusingan pertama dan tiada kejutan berlaku apabila Ivan menang straight set, 11-1, 11-4, 11-2.

"Ia sekurang-kurangnya memberi saya keyakinan dan membuatkan saya lebih selesa dalam permainan. Kemenangan itu memberikan motivasi kepada saya.

"Ia bagus untuk melihat perkembangan saya. Saya perlu mengambil satu langkah demi satu langkah," kata Ivan.

Sementara itu, pilihan pertama kejohanan, Nafiizwan, pasti lega melepasi halangan pertama tanpa sebarang gangguan, dengan dia mengalami kecederaan betis yang memaksanya berehat hampir dua bulan sebelum ini.

Malah, dia nampak selesa di dalam gelanggang tanpa diuji hebat Mivesh Kumar dan pemain itu menang mudah 11-3, 11-7, 11-4.

"Saya perlu melepasi tahap kecergasan daripada ISN (Institut Sukan Negara), MSN (Majlis Sukan Negara) dan Program Podium. Alhamdulillah, saya melepasinya dengan baik.

"Saya harap momentum baik hari ini dapat diteruskan untuk perlawanan selepas ini," kata Nafiizwan.