Perjalanan perseorangan lelaki negara, Ivan Yuen, dalam Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, berakhir di peringkat suku akhir apabila tumpas 2-3 di tangan wakil Switzerland, Nicolas Muller, hari ini.

Sandaran negara itu tewas 10-12, 6-11, 11-8, 11-6, 8-11.

"Saya hanya menemui rentak sebenar dalam set ketiga.

"Kemudian, ia semakin baik dalam set keempat.

"Siapa yang beraksi lebih baik dalam set kelima akan memenangi perlawanan dan saya fikir dia amat konsisten untuk menang," katanya.

Seorang lagi perseorangan lelaki negara, Ng Eain Yow, mara ke separuh akhir selepas menundukkan lawan dari Pakistan, Tayyab Aslam, 11-9, 12-10, 11-2.

"Saya lebih banyak menyukarkan diri sendiri hari ini.

"Sebelum ini, saya berdepan cabaran sengit daripadanya dan ia membuatkan saya agak gugup dan takut untuk berdepannya.

"Tetapi sebaik saya mendapat rentak, ia menjadi mudah," katanya.

Sementara itu, dalam suku akhir acara perseorangan wanita, Rachel Arnold mencatatkan kemenangan ke atas rakan senegara, Ooi Kah Yan, 11-3, 11-3, 7-11, 11-5 untuk berdepan cabaran wakil Mesir, Rowan Elaraby, dalam separuh akhir esok.

"Saya hanya pernah bertemu sekali dengannya (Rowan) sebelum ini dan saya tewas.

"Saya fikir ia akan menjadi perlawanan yang hebat.

"Saya masih berasa gugup tetapi saya akan menanganinya dan beraksi baik esok," katanya.