Atlet skuasy negara, Ng Eain Yow, dijangka membuka tirai kejohanan Terbuka Malaysia menentang rakan sepasukannya, Ivan Yuen di pusingan kedua Rabu ini.

Ini juga bermakna Malaysia terpaksa mengakui bakal kehilangan salah seorang pemain utama pada peringkat awal kerana mereka berdua merupakan pemain terbaik negara.

Berdasarkan jadual perlawanan, Eain Yow yang baru tiba di tanah air dari London Sabtu lalu mendapat 'bye" di pusingan pertama manakala Ivan akan menentang Lau Tsz Kwan dari Hong Kong esok.

Dan seandainya Ivan menewaskan pemain Hong Kong itu, dia akan berdepan Eain Yow.

Keputusan siapa akan mara ke suku akhir terletak prestasi Ivan dan Eain Yow sendiri dalam perlawanan pusingan kedua itu nanti.

Untuk rekod, Ivan berada di ranking ke-55 dunia manakala Eain Yow pula berada pada ranking ke-18 dunia.