Perseorangan wanita negara, Aifa Azman, terus mencipta sensasi apabila mengesahkan tempat ke final Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia selepas menewaskan pemain pilihan kelima dari Kanada, Danielle Letourne, di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Biarpun dengan status peluang khas, pemain berusia 19 tahun itu menumbangkan lawan demi lawan untuk menempah pertemuan akhir dengan pilihan utama dari Mesir, Salmy Hany, bagi penentuan kejuaraan esok.

Aifa mempamerkan dominasinya ke atas lawan di ranking ke-19 dunia itu seawal set pertama, di mana dia menang 11-4.

Rentak positif itu kemudian berterusan untuk wakil negara itu mengungguli set kedua 11-7 sebelum Letourne merapatkan jurang menerusi kemenangan 11-5 dalam set ketiga.

Bagaimanapun, Aifa jelas sedang berada dalam keadaan bersemangat tinggi untuk menamatkan pertarungan selama 32 minit itu dengan kemenanngan 11-3 dalam set keempat.

Sementara itu, Ng Eain Yow terkandas dalam separuh akhir acara perseorangan lelaki selepas tewas kepada pemain pilihan utama dari Colombia, Miguel Rodriguez.

Dengan membawa reputasi selaku pilihan ketiga, Eain Yow terpaksa akur dengan kehebatan lawan untuk tewas 9-11, 9-11, 6-11 dalam masa 46 minit.