Kempen Malaysia dalam Kejohanan Skuasy Terbuka Amerika Syarikat (AS) berakhir selepas satu-satunya pemain yang masih bersaing, S. Sivasangari, tumpas dalam pusingan ketiga kejohanan di Philadelphia, awal pagi tad.

Pemain ranking ke-48 dunia itu yang mempamerkan aksi hebat dengan menewaskan pemain berpengalaman dalam dua pusingan awal, gagal meneruskan momentum kemenangannya selepas kalah 12-10, 9-11, 6-11, 12-14 kepada pemain nombor tujuh dunia, Sarah-Jane Perry dari England, dalam pusingan ketiga itu di Daskalakis Athletics Center di Drexel University, menurut laman sesawang kejohanan www.usopensquash.com.

Untuk rekod, Sivasangari yang memenangi gelaran Racquet Club Pro Series dan Terbuka Australia, mengalahkan Coline Aumard dari Perancis dalam pusingan pembukaan Sabtu lalu sebelum melakar kejutan menyingkirkan pemain ranking ke-13 dunia, Alison Waters dari England, dalam pusingan kedua kelmarin.

Sarah-Jane akan bertemu pemain nombor satu dunia, Raneem El-Welily dari Mesir, di peringkat suku akhir.

Pemain pilihan utama, Raneem, mara ke pusingan seterusnya apabila mengetepikan pemain sepasukan, Yathreb Adel, 11-3, 11-5, 11-4 dalam perlawanan pusingan ketiga.

Malaysia tidak menghantar wakil bagi kategori lelaki dalam kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan ASD185,000 itu.

-- BERNAMA

FOTO: usopensquash.tumblr.com