Pemain skuasy berpengalaman, Ivan Yuen, berjaya meraih gelaran berganda selepas dinobatkan selaku juara Kejohanan Skuasy SRAM-PSA 7 dengan menewaskan pilihan ketiga, Addeen Idrakie.

Kejuaraan berganda yang direkodkan Ivan dalam aksi final menentang Addeen seperti sudah boleh diramalkan sebaik perlawanan bermula.

Ivan yang berusia 31 tahun, menggunakan pengalamannya menguasai gelanggang dan selepas dua kesilapan mudah Addeen di hujung set pertama, Ivan mengesahkan kemenangan 11-4.

Set kedua lebih menarik sebaik Addeen melakukan asakan awal sehingga mengikat permainan 3-3 namun Ivan terus memberikan jawapan dengan setiap pukulan sebelum mengikat kedudukan 10-10 sehinggalah unforce error kemudiannya membenarkan Ivan menang 12-10.

Peluang terakhir untuk Addeen yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 untuk bangkit dalam set ketiga, terus disukarkan dengan kawalan bola yang lebih bijak oleh Ivan biarpun dapat tentangan sengit Addeen Sebelum Ivan menoktahkan cabaran Addeen untuk muncul juara saingan lelaki menerusi keputusan straight set 11-6.

Sementara dalam final wanita, Rachel Arnold menepati ramalan selaku pilihan pertama apabila mencatat kemenangan 3-1 ke atas Aifa Azman.

Pertembungan Rachel dan Aifa dijangka sengit memandangkan ia merupakan pertarungan antara pemain pilihan pertama dan kedua.

Saingan sengit ditampilkan kedua-dua pemain di set pertama namun kesilapan daripada Aifa menyaksikan kelebihan memihak Rachel yang menang set pertama 11-8.

Aifa menyedari kelemahan di set pertama dan mempertajamkan permainan di set kedua dan berjaya bangkit sekaligus menyukarkan tugas Rachel.

Usaha Aifa akhirnya berbaloi bila dia menang set kedua 11-7. Saingan semakin sengit di set ketiga, di mana kedua-dua pemain jelas ingin mendahului kedudukan dan Rachel akhirnya mengatasi Aifa dengan kemenangan 11-9 dan dengan keputusan sama dalam set keempat sekaligus dinobatkan juara.