Hari yang penuh drama dalam Kejohanan Skuasy SRAM-PSA 6 hari ini apabila pilihan pemain lelaki utama terpaksa kerja keras sebelum mengesahkan tiket ke separuh akhir.

Pilihan kedua, Syafiq Kamal, diheret sampai kepertarungan lima set oleh lawannya iaitu pilihan ketujuh, Wee Ming Hock, sebelum mengorak langkah ke pusingan seterusnya di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, esok.

Kedua-dua pemain saling bertukar set yang menyaksikan Syafiq terlebih dahulu menjamin pertarungan pertama dan sekali lagi dia berpeluang menguburkan cabaran lawannya itu tetapi gagal menawan set keempat sebelum memuktamadkan kemaraan menerusi set kelima 11-7.

"Beberapa bulan lalu saya bergelut dengan prestasi dan baru 2-3 hari keluar daripada kuarantin sebelum menyertai kejohanan ini.

"Oleh itu, saya tidak letakkan harapan tinggi dalam kejohanan ini cuma cuba dapatkan ketekalan permainan. Alhamdulillah dapat menang tipis," katanya selepas perlawanan.

Syafiq, yang memburu kemenangan pertama sejak edisi 1 2019, bakal berjumpa Addeen Idrakie dalam pusingan seterusnya.

Adden selaku pilihan ketiga bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menidakkan cabaran Duncan Lee.





Dalam kategori wanita pula, Aira Azman mencipta kejutan dengan menyingkirkan pilihan kedua, Ooi Kah Yan, dalam pertarungan tiga set yang memakan masa 50 minit permainan.

Langkah kakaknya pula, Aika Azman, tersekat dalam suku akhir selepas kecundang dengan dominasi Chan Yiwen.