Juara Kejohanan Skuasy SRAM-PSA 5, Ivan Yuen, menepati ramalan meneruskan kemaraan ke suku akhir selepas mengatasi pemain muda, Low Wa-Sern, dalam edisi keenam.

Dalam kempen di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, hari ini, Ivan seperti tidak perlu mengerah 100 peratus tenaga, sebaliknya buat lawan yang jelas bergelut untuk membalas setiap pukulannya.

Selepas pertarungan hampir 15 minit, Ivan mengesahkan menang 11-5, 11-5, 11-3.

"Walaupun ini perlawanan yang mudah dan berlatih bersama, tetapi kami jarang berentap.

"Saya tidak akan mengambil ringan kerana semua pemain telah menunjukkan peningkatan, lagipun kita tidak boleh jangkakan apa yang akan berlaku dalam sukan," kata Ivan.

Pilihan keempat, Darren Rahul, turut mara apabila mudah menewaskan Jia Rong.

Bertekad menebus kekecewaan apabila muncul saingan SRAM 5, Darren mempamerkan pukulan tekal sekali gus menyukarkan pencabarnya untuk menang 11-4, 11-4, 11-3 dalam masa 23 minit.






Dalam kategori wanita pula, pilihan utama kejohanan yang juga juara kejohanan SRAM 5, Aifa Azman, tiada masalah untuk menidakkan kemaraan Sehveetraa Kumar.

Walaupun set pertama Aifa tidak diberikan tentangan, namun berbeza pula dengan dua set berikutnya.

Ketika Aifa memerlukan satu mata untuk menang, Sehvetraa menghambat hingga kedudukan 10-10, tetapi Aifa bangkit dengan mevariasikan pukulan untuk menang 12-10.

Situasi sama berlaku dalam set ketiga, tetapi Aifa masih mampu menundukkan pemain muda itu 12-10 dalam masa 22 minit.

"Dalam set kedua dan ketiga, saya melakukan sedikit kesilapan tetapi masih mampu fokus hingga tamat permainan.

"Saya akan berdepan Aina Amani Ampandi selepas ini, saya pernah mengalahkannya dalam Kejohanan Skuasy SRAM-PSA 5 dua minggu lalu.

"Dia pasti telah belajar sesuatu daripada situ jadi saya jangkakan satu perlawanan yang lebih sengit esok.

"Semua pemain gigih berlatih jadi semua perlawanan akan menjadi lebih sukar," kata Aifa.

Dalam masa sama, pilihan ketiga, Yee Xin Ying, menewaskan Chen Yu Jie juga dalam straight set.

Set pertama dan set kedua menyaksikan Xin Ying tidak berdepan masalah menewaskan lawannya itu 11-4, 11-4.

Bagaimanapun, Yu Jie mempamerkan peningkatan dalam set ketiga ketika berusaha mengheret perlawanan ke set keempat.

Begitupun, Xin Ying mengikat perlawanan 10-10 sebelum menoktahkan kemenangan 13-11.