Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar S. Maniam, bimbang dengan prestasi kurang memberangsangkan pemain lelaki negara, Syafiq Kamal, dalam Kejohanan Siri Cabaran Persatuan Skuasy Profesional (PSA) di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Syafiq mendapat laluan percuma dalam pusingan pertama tetapi tewas kepada pemain peluang khas dari Pakistan, Hamza Khan, 10-12, 7-11, 10-12 dalam perlawanan di Boston itu.

Maniam, dalam satu temu bual Nadi Weekend hari ini, meluahkan kegusarannya mengenai kemerostoan prestasi pemain elit negara itu.

"Syafiq sentiasa bertanyakan kepada dirinya 'mengapa saya berlatih dengan amat gigih tetapi tidak dapat menterjemahkannya kepada keputusan yang baik (dalam kejohanan).

"Ini adalah sesuatu yang benar-benar perlu kami selesaikan kerana dia merupakan pemain yang amat penting dalam pasukan kami. Dia tidak dapat mempamerkan persembahan terbaiknya.

"Dia sudah bergerak dari AS dan mungkin akan tiba di sini dalam sehari atau dua hari ini.

"Dia akan menjalani kuarantin selama 14 hari dan sepanjang tempoh itu, saya merancang untuk berbincang dengannya bagi mengetahui bantuan terbaik yang boleh kami berikan kepadanya untuk kembali mendapatkan prestasi terbaiknya.

"Kami akan melihat apa-apa isu yang dihadapinya dan apa yang boleh kami selesaikan, di mana ia masih belum dikongsikannya kepada kami," katanya.