Kehadiran bintang meningkat naik, S. Sivasangari, membuat ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, tidak terbeban untuk menghadapi keperluan mempertahankan pingat emas Sukan Asia Indonesia 2018.

Selain Nicol dan Sivasangari, skuad wanita ke Sukan Asia 2018 akan diperkuatkan dengan kelibat Low Wee Wern yang kembali semula daripada kecederaan lutut serius dan seorang lagi bakat muda, Aifa Azman.

Dalam temasya Incheon 2014. Malaysia memenangi dua emas menerusi perseorangan wanita, Nicol, dan berpasukan wanita.

Sekali lagi, tanggungjawab itu diletakkan ke atas skuad wanita serta skuad lelaki yang diketuai Nafiizwan Adnan.

"Kami mempunyai skuad yang mantap.

"Berita gembiranya adalah apabila melihat Wee Wern kembali beraksi selepas dibelenggu kecederaan sejak sekian lama dan mampu bergerak tangkas.

"Sivasangari juga bermain dengan sangat baik untuk memenangi Kejohanan Kebangsaan, begitu juga Aifa.

"Mereka mempunyai potensi besar serta bermain dengan baik dalam siri jelajah, " ujar Nicol.

Sementara itu, chef-de-mission (CDM) ke Sukan Asia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, berasakan mandat menghadirkan pingat emas tidak akan dipikul Nicol secara berseorangan.

"Nicol pernah menewaskan pesaing-pesaing yang bakal dihadapinya (dalam Sukan Asia) dan mereka juga pernah menewaskannya.

"Berdasarkan rekod prestasi yang lalu, kita ada peluang yang besar. Begitu juga dengan pemain muda kita, kebanyakannya menunjukkan prestasi yang tinggi," kata Abdul Azim.

Selain skuasy, Abdul Azim turut meluangkan masa menjenguk perincian akhir skuad renang dan renang berirama menjelang kempen di Indonesia nanti.