Selepas pertarungan yang berlanjutan selama 84 minit, perseorangan skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow, terpaksa bertahan daripada menitiskan air mata apabila tewas tipis di tangan wakil tuan rumah, Rex Hendrick, dalam Sukan Komanwel Gold Coast, sebentar tadi.

"Sangat kecewa kerana gagal melakar kemenangan. Saya rasa saya sudah melakukannya dengan baik dan telah membuat persediaan yang rapi.

"Kalau saya boleh ubah masa, saya tidak boleh perbaiki apa-apa. Saya sudah melakukan dengan baik. Perlawanan ini juga memang sukar," katanya.

Aksi pembuka tirai skuasy tidak bermula seperti yang dirancang apabila Eain Yow bermula dengan kekalahan 11-13 dalam set pertama.

Dia kemudian bangkit dalam dua set berikutnya 11-6, 11-8 untuk memimpin pertarungan buat sementara waktu.

Kesilapan awal permainan dalam set keempat memberi ruang kepada Hendrick untuk menyamakan kedudukan.

Drama pada penghujung permainan pasti kekal dalam ingatannya apabila kekejangan otot memaksa Eain Yow menyerahkan kelebihan 12-10 dalam set terakhir untuk memberikan kemenangan kepada lawannya itu.