Selepas meraih kejuaraan berganda dalam acara lelaki dan wanita Kejohanan Berpasukan Asia di Bukit Jalil kelmarin, skuad skuasy negara perlu memanfaatkan tempoh seminggu ini bagi mempersiapkan diri menjelang Kejohanan Individu Asia di Pakistan bermula 15 Disember ini.

Malaysia akan menurunkan lapan pemain sama yang menjuarai Kejohanan Barpasukan Asia, terdiri daripada Ng Eain Yow, Ivan Yuen, Syafiq Kamal dan Addeen Idrakie dalam kategori lelaki selain Rachel Arnold, Aifa Azman, Noor Ainaa Amani Ampandi dan Chan Yiwen dalam kategori wanita.

Kesemua mereka akan berlepas ke Pakistan pada Isnin depan sebelum memulakan saingan dua hari kemudian.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Yeoh Pek Xian, juara Terbuka Malaysia, Aifa, berkata: "Ia akan menjadi kejohanan yang sukar tetapi saya fikir ada peluang untuk saya memenanginya.

"Sebenarnya, saya sudah mempersiapkan diri sepanjang tahun ini untuk menghadapi Terbuka Malaysia dan Kejohanan Individu Asia -- kedua-duanya adalah kejohanan yang saya ingin menangi -- jadi saya harap dapat mempamerkan persembahan terbaik dalam kejohanan itu."

Perseorangan lelaki di ranking ke-50 dunia, Ivan Yuen, menambah: "Setakat ini, anda dapat melihat kami memperoleh minggu yang baik di sini (Bukit Jalil) dan memandangkan Kejohanan (Berpasukan Lelaki) Dunia telah dibatalkan, kami mempunyai tempoh seminggu untuk mendapatkan keadaan terbaik sebelum kejohanan seterusnya.

"Harap-harap kami dapat meneruskan momentum ini dan turut mendapatkan pencapaian yang baik di sana."