Pingat emas acara beregu campuran menjadi penebus kekecewaan pemain skuasy negara, Sanjay Singh Chal, yang tidak terpilih beraksi bagi acara perseorangan dalam Sukan SEA Ke-29.

Sanjay bersama pasangannya, S. Sivasangari, merangkul emas apabila menundukkan rakan senegara, Ryan Neville Pasqual dan Rachel Mae Arnold, 11-9, 11-10, di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Misi Sanjay untuk mempertahankan emas perseorangan yang dimenangi dalam Sukan SEA 2015 terkubur kerana tidak terpilih bagi acara itu selepas bergelut dengan kecederaan sepanjang tahun ini.

Bagaimanapun, kejayaan hari ini membuktikan prestasinya sudah kembali berada di tahap sebenar sekalipun baru berlatih bersama Sivasangari beberapa minggu sebelum Sukan SEA bermula.

"Saya tidak begitu kecewa, saya baru sahaja pulih daripada kecederaan sepanjang tahun. Mereka (skuasy negara) berjaya mempamerkan permainan yang lebih cemerlang dan saya berharap untuk melakukan yang lebih baik pada masa akan datang," katanya.

Sivasangari pula menganggap pingat emas itu sebagai suntikan semangat untuknya kembali fokus kepada acara perseorangan wanita yang membuka saingan esok.

Pastinya pemain berusia 18 tahun itu bakal dicabar rakan sepasukan, Rachel, selaku pilihan utama untuk merebut pingat emas

"Saya telah meraih satu pingat emas. Ia memberikan satu motivasi kepada saya untuk terus memberikan persembahan yang mantap," katanya.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.