Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) tetap optimis dengan skuad negara biarpun perjuangan keempat-empat wakil negara dalam Kejohanan Dunia PSA di Chicago, Amerika Syarikat, terkandas dalam pusingan kedua.

Pemain wanita, Low Wee Wern, ditunjukkan jalan keluar 1-3 oleh pemain tuan rumah, Olivia Klain sementara S. Sivasangari tunduk 1-3 kepada pencabar dari Belgium, Nel Gillis.

Rachel Arnold pula tewas 1-3 di tangan pemain Mesir, Nadine Shahin.

Sisa kempen Malaysia dalam kategori lelaki, Ng Eain Yow, terpaksa akur dengan keampuhan pilihan pertama, Ali Farag, 1-3.

"Kebanyakan pemain beraksi dengan sangat baik. Ini adalah kejohanan kedua yang mereka sertai dalam tempoh setahun ini.

"Mereka banyak berlatih tapi tiada pertandingan (dapat disertai). Eain Yow dan Rachel Arnold bermain dengan sangat cemerlang.





"Wee Wern dan Sivasangari turut tampil mengagumkan dalam beberapa perlawanan.

"Pemain menuju ke arah betul. Sasaran kami ialah memasuki kelompok 20 dunia sebelum mengorak ke langkah berikutnya.

"Dalam beberapa tahun lagi kita boleh lihat wakil negara dalam kalangan 10 terbaik," kata Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar S Maniam, di Nadi Weekend, sebentar tadi.