Malaysia membolot dua pingat emas beregu skuasy lelaki dan wanita Sukan SEA Ke-29 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Andrea Lee dan Rachel Mae Arnold mudah mengatasi satu lagi gandingan negara, Chan Yi Wen dan Nazihah Hanis, 11-4, 11-10, dalam perlawanan akhir acara beregu wanita.

Pingat gangsa dikongsi pasangan FIlipina, Yvonne Alyssa Dali-Jemyca Aribado, dan Sneha Sivakumar-Au Yeong Wai Yhann dari Singapura.

"Saingan ketika tengah hari sungguh sengit tetapi mujur saya sempat memulihkan tenaga dan beraksi baik sebentar tadi," kata Andrea.

Andrea seterusnya akan mengalih tumpuan kepada final beregu campuran bersama Ryan Neville Pasqual untuk menentang pasangan utama Malaysia yang juga pilihan emas, Sanjay Singh-S. Sivasangari, esok.

"Beregu campuran agak sukar dan lawan yang akan kami hadapi esok agak kuat. Jadi tiada tekanan buat kami namun akan tetap untuk memenanginya," tambahnya.

Dalam final beregu lelaki, Mohammad Syafiq Mohd Kamal dan Ng Eain Yow menewaskan Timothy Leong-Pang Ka Hoe dari Singapura 11-6, 11-3 untuk menggondol emas.

"Bagi saya tekanan agak tinggi memandangkan hanya kami yang tinggal untuk merebut emas.

"Kebangkitan yang dapat dilakukan selepas ketinggalan jauh adalah sesuatu yang amat istimewa," kata Eain Yow.

Satu lagi pasangan negara, Ong Sai Hung-Mohd Farez Izwan, meraih gangsa, berkongsi dengan wakil Singapura, Chua Man Tong-Benedict Chan.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.