Skuad skuasy lelaki dan wanita negara membawa perkhabaran gembira dalam saingan Kejohanan Berpasukan Asia selepas berjaya melangkah ke final apabila menundukkan pasukan Jepun sebentar tadi.

Saingan separuh akhir bermula dengan kudrat juara Terbuka Malaysia, Aifa Azman yang turun menentang Risa Sugimoto.

Membawa gelaran sebagai juara Jelajah PSA, Aifa tampil dengan aksi cemerlang apabila menewaskan Sugimoto dengan kemenangan 11-4, 11-4, 11-5 untuk memberikan mata pertama negara.

Jepun mengikatkan kedudukan apabila kapten pasukan negara, Rachel Arnold, gagal mengatasi asakan Satomi Watanabe sekaligus tewas 5-11, 2-11, 4-11.

Sandaran terakhir terletak kepada Ainaa Amani Apandi diberi kepercayaan untuk melunaskan misi negara.

Walaupun hadir dengan pengalaman yang lebih kurang berbanding Aifa dan Rachel, Ainaa memberikan aksi terbaik dalam memastikan kemenangan yang membawa mereka ke pentas final.

Ainaa menang aksi straight set, 11-3, 11-2, 11-5 sekaligus Malaysia menang dengan keputusan 2-1 dan bakal bertemu Hong Kong di final esok.

Skuad lelaki turut mengikut jejak sama mengesahkan tempat ke final juga menerusi kemenangan ke atas Jepun 2-0.

Untuk rekod, kali terakhir skuad lelaki dan wanita ke final adalah 2014 jadi mereka berjaya mengulangi pencapaian tujuh tahun lalu.

Ivan Yuen memastikan Malaysia memperoleh kemenangan pertama menerusi keputusan straight set ke atas Tomotaka Endo 11-3, 11-9, 11-7.

Skrip sama turut berlangsung di aksi kedua menerusi penampilan Ng Eain Yow yang turut mencatat kemenangan mudah tiga set, 11-4, 11-2, 11-1 untuk kem Malaysia bertemu India di final.