Skuad skuasy negara meraih kejuaraan berganda dalam Kejohanan Berpasukan Asia selepas kedua-dua pasukan lelaki dan wanita dinobatkan sebagai juara di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Pasukan lelaki negara cemerlang menewaskan pilihan utama, India, 2-1 untuk bergelar juara buat kali pertama sejak 2008.

Ng Eain Yow meraih mata pertama Malaysia dengan menewaskan Saurav Ghosal 12-10, 11-4, 11-8.

India, bagaimanapun, menyamakan kedudukan apabila Mahesh Mangaonkar menewaskan Syafik Kamal 11-9, 11-7, 11-8.

Namun, Ivan Yuen memastikan skuad negara, selaku pilihan kedua kejohanan, melakar kejutan untuk bergelar juara dengan menewaskan Ramit Tandon 11-8, 8-11, 11-3, 11-1.

Terdahulu, skuad wanita negara turut mencipta kejutan apabila menumbangkan juara bertahan, Hong Kong, 2-1 untuk menamatkan penantian kejuaraan sejak 2016.

Berdepan lawan yang diletakkan sebagai pilihan utama, Rachel Arnold memulakan saingan dengan langkah kanan buat Malaysia apabila menewaskan Liu Tsz Ling 11-6, 8-11, 11-7 11-2 tetapi Hong Kong tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan, di mana Tong Tsz-Wing menewaskan Noor Ainaa Amani Ampandi 11-8, 11-6, 6-11, 11-9.

Namun, juara Terbuka Malaysia, Aifa Azman, mempamerkan permainan terbaiknya untuk mudah menumbangkan Tze Lok Ho 11-4, 11-3, 11-6.