Pemain skuasy lelaki negara, Addeen Idrakie Bahtiar, mahu menebus kekecewaannya tersingkir awal dalam Terbuka Malaysia minggu lalu apabila berazam untuk tampil lebih kemas selepas ini.

Dia akan membarisi Malaysia dalam Kejohanan Berpasukan Asia -- terdiri daripada 12 pasukan lelaki dan lapan pasukan wanita -- di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil, bermula esok.

Addeen Idrakie tewas kepada pemain Hong Kong, Yip Tsz Fung, dalam pusingan pertama Terbuka Malaysia dan masa terluang itu digunakan sebaik mungkin berlatih dengan pemain luar.

"Memang rugi tidak dapat bermain dalam perlawanan kompetitif dengan lebih banyak.

"Tapi selepas terkandas dalam pusingan pertama minggu lalu, saya sempat berlatih dengan pemain luar yang terbabit dalam Terbuka Malaysia," katanya di Nadi Arena.




Pasukan lelaki Malaysia diundi dalam Kumpulan B di samping Hong Kong, Iran, Sri Lanka dan akan membuka kempen bertemu Singapura disusuli Korea Selatan.

Selain Addeen, empat lagi wakil negara akan beraksi iaitu Ng Eain Yow, Ivan Yuen dan Mohd Syafiq Kamal.

"Kami mampu mencapai sasaran ke final berdasarkan kejohanan yang lalu.

"Kami berupaya mengalahkan dua pasukan teratas jadi kami perlu saling bekerjasama," katanya lagi.

Dalam Kumpulan B saingan wanita pula, skuad negara yang dibarisi Rachel Arnorld dan juara Terbuka Malaysia, Aifa Azman, Chan Yiwen dan Noor Ainaa Amani Ampandi bakal memulakan perhitungan bertemu Iran, pagi esok sebelum berdepan India dan Filipina.